Umar
Al-Khattab pencipta takwim Hijrah
Oleh KASSIM BAHALI
Dalam usaha menyambut 1 Muharam yang sering dikaitkan dengan
peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. timbul kekeliruan di kalangan
sebahagian masyarakat. Kekeliruan di antara tarikh sebenar hijrah
Rasulullah dari Mekah ke Madinah dengan Maal Hijrah.
Ada pihak yang beranggapan Rasulullah s.a.w. berhijrah pada tarikh 1
Muharam, justeru diadakan sambutan bagi mengingati dan merayakan
tarikh peristiwa itu berlaku.
Ada yang beranggapan takwim tahun Hijrah telah mula digunakan sejak
dari detik peristiwa hijrah tersebut.
Ada yang beranggapan tarikh sebenar Rasulullah s.a.w. berhijrah
telah dipinda dan dijadikan sebagai 1 Muharam.
Dalam buku-buku sejarah menyebut Rasulullah berangkat hijrah
meninggalkan Mekah setelah mendapat wahyu yang mengizinkan baginda
berbuat demikian. Setelah beberapa hari berjalan akhirnya baginda
sampai di Quba, satu tempat yang terletak beberapa kilometer dari
Madinah.
Menurut ahli falak Sheikh Tahir Jalaluddin, Rasulullah s.a.w. telah
sampai di Quba pada hari Isnin 9 Rabiulawal bersamaan 20 September
622M.
Selepas empat hari berada di Quba baginda meneruskan perjalanan dan
telah memasuki Madinah pada Jumaat 13 Rabiulawal bersamaan 24
September 622M.
Sebenarnya takwim Hijrah bermula atas cadangan Sayidina Umar
Al-Khattab. Semasa beliau menjadi khalifah yang kedua, seorang
gabenor, Abu Musa menerima surat dari beliau yang hanya menyatakan
tarikh bulan Syaaban tanpa menyatakan tahun. Abu Musa menulis surat
bertanya kepada beliau bulan Syaaban yang mana satu, tahun ini atau
tahun hadapan? Bermula dari keadaan itu Sayidina Umar mencadangkan
agar diwujudkan unit tahun dalam takwim selain haribulan dan bulan.
Sebelum kedatangan Islam dan semasa hayat Rasulullah s.a.w. takwim
yang digunakan ialah sistem takwim Qamari yang merujuk unit tahun
kepada peristiwa besar seperti Tahun Gajah merujuk kepada tahun
peristiwa tentera bergajah menyerang Kaabah. Sayidina Umar telah
menerima cadangan yang menjadikan tahun Rasulullah s.a.w. berhijrah
sebagai tahun pertama takwim Hijrah. Bulan Muharam adalah bulan
pertama dalam sistem takwim Hijrah dan apabila dikebelakangkan dari
tarikh sebenar baginda sampai di Madinah maka 1 Muharam sebagai hari
pertama tahun Hijrah yang jatuh pada Jumaat 16 Julai 622M.Ini
bermakna takwim tahun Hijrah ketika mula digunakan semasa
pemerintahan Sayidina Umar sudah menjadi tahun Hijrah yang ke-17.
Dan takwim ini juga bukan mula digunakan semasa hayat Rasulullah
tetapi selepas 17 tahun berlalunya peristiwa hijrah, barulah takwim
Hijrah yang kita amalkan hari ini dipraktikkan.
Kesimpulannya tarikh hijrah Rasulullah bukanlah pada 1 Muharam
tetapi 1 Muharam adalah hari pertama dalam takwim Hijrah dan tarikh
hijrah Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan sebagai hari pertama takwim
Hijrah. Takwim Hijrah mula dipraktikkan selepas kewafatan Rasulullah
s.a.w. oleh Sayidina Umar Al-Khattab iaitu pada tahun ke-17 Hijrah.
* KASSIM BAHALI ialah Setiausaha Persatuan Falak
Syar'i Malaysia.
|